Tuesday, May 15, 2012

3 bulan pemergian atok .

Assalamualaikum wbt.

Sebenarnya tidak sedar langsung hari ini 15 hb dan ini menunjukkan 3 bulan atok pergi. Tiba-tiba perasaan rindu menggamit sanubari. Tidak dapat dinafikan air mata serasa mahu mengalir sederas-derasnya mengenangkan atok. Namun hanya mampu memberikan doa dan al-fatihah. Tiada apa yang dapat zaty beri selain itu. Sedar tak sedar semasa awal semester hari itu dan baru beberapa hari atok meninggalkan zaty, zaty baru perasan yang zaty ada print gambar zaty dengan ayah tapi ada terselit atok di tepi ayah. Gambar tu memang zaty letak dalam fail subjek Calculus sebab fail tu tak mudah terkeluar kertasnya. Setiap kali membuka fail nampak gambar tu.

Zaty merasakan kehadiran atok disisi zaty walaupun pada hakikatnya atok dah lama meninggalkan kami di sini. Gambar tu atok senyum dan gambar tu masa kita raya tahun 2010. Atok berbaju melayu warna hitam. Atok, tahun ni kali pertama zaty beraya tanpa atok. Zaty tak dapat lagi duit raya daripada atok. Zaty tak dapat lagi salam tangan atok. Entah bila agaknya zaty salam tangan atok buat kali terakhir ya? Zaty jarang balik kampung sebab zaty sibuk masa semester 1 tetapi zaty cuma balik masa nenek sakit. Namun, pemergian atok yang tidak disangka-sangka memang membuat hati ni tersentap pilu. Masa kan tidak, nenek yang sakit tetapi atok yang meninggalkan kami. Ya Allah.

Terkenang dan terimbau saat zaty kanak-kanak. Setiba di simpang masuk ke rumah atok, tengok dulu kalau-kalau atok ada di kebun depan rumah dan jika ada zaty dengan syafiq turun kejar atok. Bukan tolong atok menanam pun, tolong pijak tanah je saje-saje kacau atok kan. Zaty ingat zaty pernah petik pucuk ubi dengan atok. Rupa-rupanya pucuk ubi tu sedap. Dah besar baru tahu nak makan. Masa zaman kanak-kanak sayur bunag tepi pinggan je. Hm. Zaty teringat jugak zaty dengan sepupu lain, eka, yana, anis, semua main bakar daun kering belakang rumah. Ada dusun. Kadang-kadang kitorang panjat pokok manggis tu sebab geram.

Zaty ingat lagi bila petang-petang atok pergi ngeteh dengan kawan-kawan atok kat kedai situ je tapi nanti bila dah nak magrib atok balik, zaty dengan syafiq tunggu atok lepas tu kejar atok. Kadang-kadang tunggu atok kat jambatan depan rumah lepas tu naik moto sekali. Atok mesti belikan jajan untuk zaty dengan syafiq dan jajan tu mesti sama rata sama banyak. Malam-malam zaty, syafiq dengan atok tido sama-sama kan. Kita tengok tv sampai tertido. Kadang-kadang bila zaty tersedar zaty nak tutup atok tak bg sebab atok nak tgk tv lg. Atok, sekarang zaty tak boleh rasa lagi semua tu. Zaty pun ingat, walaupun zaty dah besar, atok tetap buatkan air milo ke kopi ke apa-apa untuk makan dengan biskut kan. Patutnya zaty yang buatkan untuk atok. Kalau baru je sampai kampung, ada je makanan yang atok buatkan dan keluarkan.

Kadang-kadang ubi, mee goreng, pisang goreng, jemput-jemput pisang, macam-macam lagi kan atok. Zaty rindu semua hasil tangan atok. Entah apa khabar dusun-dusun atok kat kampung tu. Zaty tak mampu mengawal hati ini daripada menahan air mata ini dari tidak mengalir. Terasa sendu dan pahit di tekak kerana mencuba menahan tangisan. Sekiranya tak dikawal pasti meraung jadinya. Itu zaty nak elakkan. Itu seperti tidak reda atas takdir Allah. Tahan. Terlalu banyak kenangan manis bersama atok. Hendak diperkata satu persatu serasa letih tangan menaip ini namun sayang zaty kepada atok tetap zaty gagah menaip seboleh mungkin.

Atok, atok sempat pergi ke tempat zaty belajar kan. Atok sempat masuk jugak tempat asrama zaty kat usim ni kan. Masa tu pun atok dah lain je sebenarnya. Diam je tak banyak cakap. Ya Allah. Tabahkan hati ini. Atok juga sangat menghargai apa juga pemberian orang kan. Ayah bagi atok jam, kasut, handphone dan macam-macam dan zaty nampak atok sangat menjaga semua itu. Atok basuh kasut tu siap jemur atas bumbung rumah lagi, simpan dalam kotak kalau tak guna. Jam tangan tu pun cantik lagi bila ayah amik balik bila atok dah tiada. Zaty tak boleh lupa saat-saat bersama atok. Zaty tak boleh lupa dari saat awal pagi zaty mengetahui berita tentang atok. Zaty juga masih teringat saat zaty mengemas bilik atok. Terasa luluh jantung ini. Jika  tak mampu dikawal serasa mampu pengsan lemah longlai badan ni.

Namun zaty tetap gagah. Menelan pahit. Ini kali kedua zaty kehilangan ahli keluarga selepas kehilangan sepupu. Namun pada waktu dahulu zaty tidak merasa apa-apa sebab masih kecil. Pemergian atok ini kali pertama zaty rasa betapa sukarnya menelan kepahiran kehilangan orang tersayang. Tiada galang gantinya. Atok atok yang terbaik. Segalanya masih segar dalam ingatan. Namun zaty hanya mampu memberikan hadiah doa sahaja. Semoga atok tenang di sana dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Ingatan sayang dari cucumu Nur Izzaty , Nur Syafiq dan Muhamad Syahir Amsyar. Ibu ayah semua rindu atok. Kami akan meneruskan kehidupan ini seperti biasa. Doa dari kami insyaallah sentiasa bersama atok. Aamiin.

Mohon pembaca juga sedekahkan Al-fatihah kepada atok, Kiman. Hanya Allah mampu membalas jasa kalian. Insyaallah. Terima kasih.

AL-FATIHAH
ZATY RINDU ATOK

IMYSM


1 comment:

Terima kasih membantu :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...